Transformasi Bersepadu, Hala Tuju Jelas, Tawaran Baharu Demi Survival Parti – Bung Mokhtar

KOTA KINABALU, 22 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata untuk meneruskan survival parti perlu ada transformasi bersepadu dan komitmen gerak kerja yang tinggi.

Tegasnya, UMNO Sabah perlu ada ‘blue print’ yang benar-benar mempunyai hala tuju bagi mencapai kemenangan di dalam pilihan raya.

“Kita perlu ada hala tuju yang betul-betul beri keyakinan kepada rakyat Sabah. Kita perlu ada strategi bukan lagi seperti pilihan raya yang lalu dan kena terangkan strategi baru bersesuaian dengan kehendak pengundi dan rakyat.

“Sebab itu UMNO Sabah memberi jaminan kita akan meletakkan calon di semua tempat yang kita bertanding, calon yang dimahukan oleh rakyat. Matlamat kita untuk menang dalam pilihan raya,” jelasnya.

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata demikian di dalam ucapan dasarnya di Konvensyen UMNO Sabah semalam di Dewan Utama Bangunan UMNO Sabah di sini.

Konvensyen UMNO Sabah dirasmikan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Untuk mencapai kemenangan juga tambah Bung, selain semangat para pendukung, parti memerlukan pakej yang lengkap.

“Semangat yang tinggi dan kesatuan kita yang ramai tidak memadai. Untuk menang kita memerlukan satu pakej yang kuat, penuh kepastian, yang boleh menentukan kita akan menang.

“Kita kena tawan hati dan kehendak rakyat. Kena tahu apa yang rakyat mahu dan tawarkan sesuatu yang baik kepada rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai kuasa autonomi bagi UMNO Sabah, jelasnya kepimpinan pusat komited memberikan sepenuhnya kepada negeri menentukan hala tujunya sendiri.

“Autonomi negeri Sabah ini akan memberikan UMNO Sabah sebagai sebuah entiti yang akan dikenali UMNO Sabah.

“Antara intipatinya pemilihan calon, pemilihan pemimpin-pemimpin mesti datang dari UMNO Sabah sendiri. Kita akan memutuskan hala tuju sendiri,” ujarnya lagi.

Dalam ucapannya juga Bung berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak serius dalam menyelesaikan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Di Dewan Rakyat baru-baru ini kerajaan Pakatan Harapan telah membawa satu usul yang memerlukan kelulusan dua pertiga tetapi kita (pembangkang) bertanya kenapa tidak dibawa dalam jawatankuasa dalam parlimen dan apakah pengisian MA63 yang hendak dibawa oleh Pakatan Harapan.

“Tetapi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri kurang sabar, dia kata lulus dulu baru berbincang. Sebab itu saya wakil dari Sabah satu-satunya yang menentang dan tidak mengundi usul,” tegasnya.

Kerana itu katanya UMNO Sabah bersetuju dengan komitmen Dr Ahmad Zahid mengenai MA63 sekiranya kerajaan pusat kembali diterajui oleh Barisan Nasional (BN).

“Presiden telah memetik tadi InsyaAllah kita memerintah MA63 akan kita masukkan dalam Perlembagaan Malaysia dan terus akan dapat dilaksanakan, bukan lagi main-main seperti yang berlaku pada hari ini.

“Demikian juga dengan hak-hak Sabah dalam royalti dan percukaian akan dikembalikan kepada orang Sabah. Kita tentukan masa depan, anak cucu bangsa kita. Ini yang penting untuk berikan tawaran baharu rakyat,” katanya.

Begitu juga tawaran baharu mengenai peruntukan kewangan terus kepada kepada negeri Sabah bagi program pembangunan, bukan seperti amalan sekarang pusat hanya menyalurkan projek-projek yang diputuskan dari Putrajaya. – UMNO ONLINE


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *