Ta’awun Akbar UMNO-PAS Bukan Rasisme – Annuar

KETEREH, 3 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan bahawa kerjasama politik yang besar, Ta’awun Akbar antara UMNO dan PAS bukan satu bentuk fahaman rasis.

Jelasnya, Ta’awun UMNO dan PAS yang akan dilancarkan pada 14 September adalah dengan keazaman dan janji bahawa kedua-dua parti tersebut mampu membawa Malaysia yang ada pelbagai kaum jauh lebih baik daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ini kerana katanya, Islam tidak membenarkan sebarang bentuk perlakuan yang menekan golongan bukan Islam dan memberikan hak-hak selagi mana kesucian Islam tidak diganggu-gugat.

“Gabungan UMNO-PAS bukan menyemarakkan rasisme atau perkauman. Selagi mana UMNO dan PAS berpegang kepada prinsip-prinsip Islam, MCA, MIC, Iban, Kadazan, Dayak, Dusun, Melanau, Jawa, Bugis dan lain-lain kaum tidak perlu bimbang.

“Ini kerana UMNO dan PAS mahu hantar mesej yang jelas bahawa kita dipandu oleh agama Allah yang tidak membenarkan sama sekali di mana Nabi S.A.W tidak mengaku umat jika kita rasis sepertimana sabda Nabi S.A.W.

“Disebut ini kerana kita (negara) ada pelbagai kaum dan hendak tolak apa yang Timbalan Speaker (Dewan Rakyat, Nga Kor Ming) yang kata UMNO dan PAS bergabung menyusahkan orang lain,” tegasnya dalam ucapan aluan di Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan, di sini hari ini.

Perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang.

Turut sama, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Md Alwi Che Ahmad, juga selaku Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ketereh dan Datuk Abdul Rahman Mohamad, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob dan barisan kepimpinannya.

Turut hadir, barisan kepimpinan parti komponen BN dari MCA dan MIC, PAS kawasan Ketereh serta badan-badan bukan kerajaan dan masyarakat setempat.

Justeru itulah Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh mengharapkan semua pendukung parti yakin dengan agenda perpaduan ummah.

“Maka kita harap dalam persidangan-persidangan perwakilan termasuk di Ketereh perbetulkan pegangan kita, keazaman kita, nawaitu kita, istiqamah kita, kita gabung dengan PAS bukan hendak menyusahkan orang lain tetapi yakin kalau umat Islam berpegang, berpadu menegakkan pemerintahan maka akan lebih sejahteralah sahabat-sahabat kita orang Cina, orang India dan lain-lain,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Ketereh itu turut mengambil contoh bagaimana Nabi Muhammad S.A.W ketika pembentukan negara Islam Madinah mampu menyatukan penduduk asal dan Muhajirin kerana Islam menganjurkan perpaduan dan memberi hak kebebasan beragama selama mana Islam tidak diperangi.

Mengulas mengenai kekalahan UMNO dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Annuar berkata hikmah terbesar yang dikurniakan Allah S.W.T adalah penyatuan ummah.

“Allah memberikan hadiah yang lebih besar lagi yakni hadiah penyatuan ummah antara dua parti yang terbesar dalam negara.

“Yakin dan percaya apa yang ditulis dalam al-Quran. Allah S.W.T telah berpesan berpegang teguhlah pada tali Allah, jangan bercerai-berai dan memperingati bahawasanya jangan sesekali kita kembali ke amalan yang terdahulu yakni ummat yang besar tapi hilang kekuatan kerana perpecahan.

“Jangan kita terlepas peluang membawa ‘rahmatan lil ‘alamin’ pada realitinya pada perjuangan agama melalui perjuangan dan saf yang tersusun. Dan memperingati diri kita jangan mendapat azab Allah S.W.T. kerana lalai yakni kembali kepada suasana dahulu iaitu berpecah-belah,” tegasnya lagi. – MediaUMNO


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *