Pembangkang Selangor Sokong MB Lawan DAP Demi Kepentingan Islam

SHAH ALAM, 5 Ogos – Ketika isu pertembungan politik di antara Amirudin Shari dengan Dap hingga menyaksikan usul memperkasa agama Islam gagal dibawa dan dibincangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semakin hangat diperkatakan, UMNO serta pembangkang negeri ini tampil memberikan sokongan kepada Menteri Besar tersebut.

Ketua Pembangkang, Rizam Ismail berkata, UMNO serta pembangkang mengamalkan politik matang dan melihat kepada soal kepentingan umat Islam, yang telah mendorong pihaknya menyokong usaha-usaha Amirudin untuk membawa usul pindaan undang-undang berkaitan pemelukan agama Islam itu, setelah DAP cuba memberikan tekanan politik.

“Sepatutnya usaha kerajaan negeri didokong oleh Speaker (Ng Suee Lim) kerana ini hal melibatkan kepentingan Islam tetapi kita lihat mainan politik menyebabkan usul gagal dibentangkan dan dalam hal ini, pembangkang mengamalkan budaya politik matang. Kita lihat pindaan ini penting, jadi dalam hal ini, kami bersama Menteri Besar.

“Ini kerana kami di pembangkang juga mahu melihat pindaan itu menjadi kenyataan dan kami wakil rakyat boleh membahaskannya di sidang DUN tetapi kita semua tahu, ada sesuatu yang pelik apabila DUN cuma bersidang dua hari,” katanya.

Dilaporkan tempoh persidangan DUN Selangor yang hanya berlangsung dua hari sebenarnya berpunca daripada kemelut politik di antara Amirudin dengan DAP menyebabkan Menteri Besar tersebut kecewa dengan tindakan dibuat Suee Lim.

Disebabkan itu, Amirudin dilihat telah pun mengambil beberapa langkah susulan, diantaranya mengadakan pertemuan tertutup bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Islam, di kediaman rasminya malam kelmarin.

Dalam pada itu, Rizam menjelaskan setakat ini pihaknya belum diberi penjelasan oleh Amirudin tentang apa sebenarnya yang berlaku tetapi menegaskan kuasa politik harus digunakan untuk kepentingan rakyat dan bukannya saling menikam antara satu sama lain.

“Kita boleh tidak bersetuju dalam banyak perkara tetapi jika libatkan kepentingan agama, bangsa dan negara, pembangkang nyatakan secara jelas pendirian kami iaitu kami mengamalkan politik matang,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *