Malaysia Semakin Lemah Daya Saing Global – Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris mempersoalkan kemanakah hilangnya janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengembalikan kegemilangan Malaysia seperti Asian Tiger seperti suatu ketika dahulu.

Menurut beliau daya saing global Malaysia kini menjadi taruhan dan kini, satu persatu semakin jelas bahawa ianya hanya sebuah retorik politik yang dimainkan PH.

“Seperti kenyataan saya sebelum ini, sudah saya jelaskan dengan fakta dan bukti yang kukuh bahawa segala tindakan kerajaan PH pada hari ini adalah merosakkan negara kerana tadbir urus yang tidak cekap.

“Bukan sahaja rakyat terkesan, malah negara Jepun yang selama ini menjadi model negara contoh kepada Tun Dr. Mahathir juga telah hilang keyakinkan kepada Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online.

Malaysia dibawah pimpinan kerajaan PH katanya lagi sangat ketinggalan sejak kebelakangan ini dengan negara jiran seperti Indonesia yang kini semakin membangun.

Berdasarkan Laporan Economic Outlook OECD 2019, tambahnya pertumbuhan KDNK Malaysia adalah lemah dan tidak berkembang dengan purata 4.6%.

“Jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Indonesia yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.3% dan Filipina sebanyak 6.6%.

“Projek mega China seperti Belt and Road Initiative juga dilihat lebih tertumpu di negara seperti Vietnam, Filipina, Thailand dan Singapura kerana dasar mesra pelabur yang lebih terbuka dan insentif ekonomi yang lebih banyak berbanding Malaysia,” ujarnya.

Ujarnya lagi statistik tersebut membuktikan kepimpinan kerajaan PH menjadikan Malaysia tidak kompetatif dan lemah daya saing global dalam menarik kemasukan pelabur asing.

“Kegagalan dalam menentukan hala tuju, isu politik dalaman, kelemahan mentadbir ekonomi dan perubahan polisi yang drastik telah menyebabkan pelabur tidak lagi yakin dengan Malaysia.

“Masalah ini sudah tentu memberi impak negatif kepada rakyat apabila tiadanya penawaran peluang pekerjaan kerana kurangnya kemasukan pelabur asing dalam pelbagai sektor di Malaysia,” tegasnya.

Tegas beliau Program Transformasi Ekonomi yang dirangka oleh kerajaan BN telah berjaya memacu ekonomi negara apabila Malaysia menduduki tempat ke-24 daripada 190 negara menerusi Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2018, yang mana kita adalah negara kedua teratas di kalangan negara ASEAN dan keempat terbaik di Asia Pasifik.

Pada masa yang sama, sambung beliau pendapatan kerajaan meningkat daripada RM185 bilion pada 2011 kepada RM225 bilion pada 2017 kerana polisi yang cekap dan berdaya saing global ini.

“Kekayaan negara yang dikumpul selama ini untuk kesejahteraan rakyat semakin merosot akibat daripada kelemahan kerajaan PH yang tidak cekap mentadbir,” tambahnya. – MediaUMNO

Sumber asal:
https://www.sinarharian.com.my/article/34540/BISNES/Keyakinan-perniagaan-Jepun-terhadap-Malaysia-merosot


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *