Lantik Warga China Dalam Khazanah Umpama ‘Bawa Masuk Orang Lain Dalam Kamar Tidur’

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Tindakan Khazanah Nasional Berhad melantik dua warganegara China sebagai Ahli Lembaga Pengarah, iaitu seorang dari Tencent Holding Company Ltd dan seorang lagi profesor dari Chinese University of Hong Kong menimbulkan persoalan serta kegelisahan pelbagai pihak.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata Khazanah Nasional Berhad adalah entiti negara yang sangat strategik lagi penting.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mewariskan kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam keadaan baik dimana jumlah nilai aset Khazanah Nasional Berhad telah naik berganda dari RM33.7 bilion pada akhir tahun 2008 kepada RM115.6 bilion pada akhir 2017 sepanjang pemerintahan PM Ke 6.

“Justeru Kerajaan PH wajib menjaganya dengan baik kerana syarikat multinational Malaysia ini tinggi nilainya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Namun katanya, Tindakan Khazanah Nasional Berhad melantik dua warganegara China sebagai Ahli Lembaga Pengarah, menimbulkan persoalan serta kegelisahan pelbagai pihak.

“Pengumuman ini dengan sendirinya bercanggah dengan penafian Dato Seri Azmin Mohd Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi pada Oktober tahun lepas bahawa Khazanah ada berbincang potensi melantik ahli lembaga pengarah dari kalangan warga asing.

“Selain dilihat seolah ekuiti konglomerat nasional itu ‘ingin dijual’ kepada negara asing, ia juga pasti mendedahkan Khazanah Nasional Berhad kepada campurtangan orang luar.”

Persoalannya kata beliau, apakah Malaysia ketandusan tenaga pakar?

“Paling pasti langkah ini memperlihatkan sikap hipokrit pimpinan PH terutama Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Menteri Kewangan yang dahulu lantang membantah dan menuduh kononnya BN menggadai negara apabila apa saja BN lakukan yang melibatkan Negara China umpamanya Projek ECRL serta Kereta Nasional Proton ketika menjalin kerjasama dengan Geely.”

Bidas beliau, kini ternyata Kerajaan PH yang berbuat demikian.

“Sebelum ini telah heboh apabila Khazanah Nasional Berhad, telah menjual 16% di dalam IHH Berhad kepada kumpulan Jepun Mitsui dengan harga RM8.42 bilion. Kemudian Axiata di dalam Syarikat Telco M1 juga dijual.

“Kemungkinan besar ada lagi yang mengalami situasi sama, dan ia amat merugikan rakyat Malaysia.”

Kerana itu, tegas beliau, tindakan Kerajaan PH membuat pelantikan warga China ini dilihat umpama ‘membawa masuk orang luar ke dalam kamar tidur’.

“Khazanah Nasional Berhad adalah syarikat pelaburan strategik milik negara. Ini sangat berbahaya bukan sahaja kepada keselamatan ekonomi negara tetapi juga perancangan pelan ekonomi.

“Justeru Kerajaan PH diminta mengendalikan syarikat penting negara dengan betul tanpa mengadai kepentingan takyat dan negara,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – MediaUMNO


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *