Kisah Tiga Jejaka Cuba Pikat Anak Pak Imam Gamit Suasana Ceramah Perpaduan Ummah

BALIK PULAU, 18 Ogos – Kisah tiga jejaka yang berkenan dengan anak Pak Imam dijadikan contoh oleh Pengerusi Yayasan Ar-Riyaadah, Ustaz Ahmad Husam Datuk Baderudin berhubung tindak-tanduk sesetengah menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Dalam loghat utara, Ustaz Husam seterusnya menyambung kisah berkenaan dengan Pak Imam menemuduga tiap-tiap jejaka tersebut dalam usaha mencari calon pasangan yang terbaik untuk anak perempuannya.

“Esoknya ketiga-tiga jejaka berkenaan pun datang ke rumah Pak Imam. Betui ka hang pa mahu kat anak aku…tanya Pak Imam lalu dijawab ketiga-tiga jejaka berkenaan ya…kami mahu.

“Pak Imam berkata lagi…aku tidak peduli bakal menantu aku ini kaya atau miskin dan sebagainya…tetapi yang penting faham agama dan hafaz al-Quran.

“Lalu ditanya Pak Imam kepada jejaka yang pertama… hang nama apa…lalu dijawab oleh jejaka tersebut saya bernama Asri… Pak Imam menyambung oleh kerana hang nama Asri baca surah al-Asr dengan tajwid dan taranum. Kemudian bacalah jejaka tersebut dengan lancar.

“Giliran jejaka kedua pula yang bernama Anas…oleh kerana namanya Anas, Pak Imam menyuruhnya membaca surah An-Nas. Bacalah jejaka tersebut dengan lancar sepertimana jejaka yang pertama,” katanya.

Katanya lagi apabila giliran jejaka yang ketiga, suasana lain mula berlaku dan jejaka berkenaan mula ‘pecah peluh’ setelah namanya Yasin.

“Kata jejaka ketiga itu…Pak Imam…nama saya Yasin tetapi mak abah panggil dengan nama lain di rumah…ini lebih kurang menteri PH. Belum ditanya dah dijawab,” ujarnya yang menarik gelak-tawa mereka yang hadir.

Beliau berkata demikian pada program Ceramah Perpaduan Ummah isu-isu semasa anjuran bersama UMNO dan PAS Balik Pulau Sabtu malam.

Ceramah tersebut turut disertai Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang yang diadakan di perkarangan Pejabat UMNO Balik Pulau.

Sementara itu Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusuf menyeru agar semua pihak bersama-sama menjayakan penyatuan ummah hari ini.

“Sebab itulah saya menyeru ayuh kita bersama-sama. Sudah tentulah dalam perbezaan perjuangan antara PAS dan UMNO memerlukan untuk kita saling hormat menghormati antara satu sama lain.

“Perbezaan ini tidak bermakna kita harus berselisih selama-lamanya dan carilah titik-titik persamaan untuk membolehkan kita bersama-sama untuk membawa ‘izzah’, kekuatan yang Allah anugerahkan kepada kita untuk sama-sama membina masa depan demi generasi yang akan datang.

“Kita merasakan pentingnya…walaupun kita mempunyai sejarah yang berbeza antara PAS dengan UMNO tetapi kita ingat nikmat Allah swt yang anugerahkan lebih besar daripada perkara-perkara yang telah kita lalu,” tambahnya.

Pada masa yang sama kata beliau jarak antara PAS dengan UMNO lebih dekat berbanding Tahalluf parti itu dengan Dap sebelum ini.

“Apakah Ta’awun di antara PAS dan UMNO itu jaraknya lebih dekat atau lebih jauh berbanding Tahalluf dengan Dap.

“Maka sudah tentulah jarak antara PAS dengan UMNO lebih dekat berbanding dengan Tahalluf PAS dengan Dap,” ujarnya. – UMNO Online


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *