Cadangan Pindaan Perlembagaan UMNO Bukanlah Untuk Singkir Sesiapa, Tegas Tok Mat

KUANTAN, 21 Jun – Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tidak timbul soal mahu menyingkirkan sesiapa malah tidak wujud sebarang hasrat ke arah itu berhubung cadangan pindaaan Perlembagaan UMNO.

Sebaliknya tegas beliau ahli parti akan diberikan ruang secukupnya kerana UMNO adalah hak ahli parti dan sebarang keputusan mengenainya dibuat menerusi mesyuarat agung luar biasa.

“Tidak betul itu… jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid dan dipengerusikan oleh Datuk Seri Khaled Nordin meminta pandangan daripada seluruh negara… pandangan dikumpulkan dan dibawa kepada mesyuarat pengurusan.

“Mesyuarat pengurusan membawanya kepada Majlis Tertinggi (MT) tempoh hari dan di dalam MT kita katakan kita perlukan satu hari atau pun dua hari untuk membincangkan pandangan berkenaan supaya ianya dapat dibahasakan dan bila dibahaskan diperingkat MT, kita akan bawa ke bawah semula dan selepas itu nanti barulah akan dibawa kepada mesyuarat agung luar biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Muktamar PAS ke-65, di Kompleks SUKPA, Kuantan, di sini, hari ini.

Turut serta barisan pimpinan kanan UMNO yang lain termasuklah Naib Presiden, Datuk Seri Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ketua Penerangan, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan pimpinan lain.

Mohamad seterusnya menegaskan hasrat untuk membuat pindaan perlembagaan parti adalah untuk membuka UMNO seluas-luasnya kepada orang ramai supaya orang muda dapat menyertainya.

“Perkara itu memang tidak ditimbulkan dan kalau ada pun ditimbulkan kita akan bincang dan akan gugurkan. Bagi saya kita jangan ambil hak ahli dan biar ahli yang menentukan kepimpinan… biar ahli yang menentukan parti itu sendiri. Parti ini kepunyaan ahli dan ahli parti yang tentukan. Jadi ini akan dibahaskan.

“Jadi macam ada had-had seperti atau menghadkan jangka masa kepimpinan, kalau ianya muda jadi ketua bahagian umur 40, tiga penggal baru 49 padahal ianya pemimpin yang baik. Kita tidak mahu melihat adanya kekangan dan kita mahu buka supaya parti ini terbuka seluasnya kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk jadi ahli,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad turut memberitahu tidak timbul persoalan sama ada Datuk Seri Ahmad Zahid boleh merasmikan mesyuarat UMNO bahagian atau sebaliknya.

“Sesiapa sahaja boleh merasmikan mesyuarat UMNO bahagian. Jemputan daripada bahagian sesiapa sahaja pun boleh. Tidak timbul soal beliau bercuti daripada tugas presiden … beliau masih lagi sebagai Ahli Parlimen Bagan Datok dan masih lagi ketua bahagian.

“Bahkan elok beliau pergi… beliau masih lagi presiden parti tetapi cuma bercuti daripada menjalankan tugas presiden. Beliau adalah presiden yang sah dan yang dipilih oleh ahli semasa pemilihan UMNO 2018, cumanya bercuti daripada menjalankan tugas-tugas presiden dan saya menanggungnya. Jadi tidak timbul soal pertanyaan Datuk Zahid boleh atau tidak merasmikan mesyuarat,” tambahnya lagi. – MediaUMNO


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *