Ampun Tuanku: Pecat Segera Tommy Thomas – Dr Puad

KUALA LUMPUR, 24 Sept – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyeru rakyat bangkit dan memohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah supaya memecat segera Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

“Alasan penghakiman oleh Hakim Koroner, Rofiah Mohammad amat memalukan kepada sistem keadilan dan ‘rule of law’ di Malaysia.

“Hakim Koroner memutuskan secara ‘prima facie’ bahawa peguam negara telah menghina mahkamah dalam inkues punca kematian arwah Mohd Adib.

“Tommy Thomas menurut Hakim Koroner cuba menjadikan inkues sebagai lakonan, main wayang dan ‘rubber stamp’,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah Dr Puad, sejak awal perlantikan Tommy telah membuktikan bahawa beliau tidak boleh melaksanakan ‘rule of law’ di Malaysia kerana menggugurkan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kini Menteri Kewangan yang sudahpun memulakan perbicaraan.

“Tingkah laku beliau seperti melantik peguam kroni dalam kes kapal Equanimity, menari sakan dalam majlis anjuran Bar Council dan menjadi panel yang memihak dalam forum mengenai Statut Rome menjejaskan intergiriti beliau sebagai peguam negara.

“Bahkan dalam kes Datuk Seri Najib, Tan Sri Shafie Abdullah mendakwa ia adalah kes pertama dalam sejarah negara negara komanwel dan mungkin di dunia, apabila seseorang yang dituduh menghadapi deretan pertuduhan dan perbicaraannnya disusun bertindih antara satu dengan yang lain (SRC dan 1MDB).

“Ia bukan sahaja tidak adil kepada tertuduh tetapi juga kepada ‘team’ pembela,” bidasnya lagi.

Justeru keprihatinan rakyat Malaysia dituntut untuk memberi keadilan kepada arwah Mohd Adib sekaligus ‘rule of law’ di Malaysia, ujarnya. – UMNO ONLINE


Leave a Reply

Your email address will not be published.Required fields are marked *